Pelayan Hotel

Selasa, 10 Ogos 2010

cINTA IST@NA 2 N 3

DUA


Baju kebangsaan negara berwarna hijau muda itu dibawa masuk ke kamar beradu. Aku hanya memerhati dari birai katil. Esok hari pertabalan yang sangat dinanti-nantikan oleh ibunda. Baju yang sarat dengan segala aksesori itu aku renung tajam. Aku tidak mahu memakai pakaian itu untuk seumur hidupku. Seketika kemudian, ibunda melangkah masuk ke kamar. Aku menyambut kedatangan ibunda dengan senyuman, begitu juga dengan ibunda. Semua dayang yang ada diperintahkan keluar oleh ibunda, jadi aku pasti ada perkara sulit yang ingin dibincangkan.

“Esok Puteri Nur Shaafiah akan mewarisi taktha, ibunda harap Puteri dapat jalankan tanggungjawab dengan sempurna” ibunda mengusap manja rambutku.

“Ibunda, puteri nak tanya pada ibunda boleh?” aku merenung mata wanita itu.

“Tentu boleh! Apa dia?”

“Kenapa ibunda nak sangat puteri memerintah negara? Bukankah abang Indera lebih layak” aku memberanikan diri mencari kepastian.

“Kareef bukan daripada keturunan kita. Darah yang mengalir dalam tubuh badan Kareef bukannya darah diraja. Pemerintah negara seharusnya terdiri daripada golongan istana juga, itukan adat tradisi kita. Takkan itupun puteri tidak faham?” kata ibunda keras.

“Puteri faham ibunda, tapi bukankah abang Indera juga anak kepada ayahanda? Darah yang mengalir dalam tubuh abang Indera juga sama dengan darah almarhum ayahanda. Ikatannya masih kuat ibunda!” pandangan cuba aku berikan.

“Tapi darah ibunda tidak mengalir dalam tubuhnya! Arwah ibunya dulu bukan dari keturunan diraja, sekadar rakyat biasa saja, puteri perlu faham semua itu” Ibunda menggalakkan matanya.

” Puteri seorang perempuan ibunda, mana mungkin boleh jadi pemerintah! Lagipun, kata Mufti Istana, Imam Hassan Al- Banna pernah mengemukakan hujah yang berdalilkan ijma’ amali, sejak zaman Rasulullah SAW, baginda tidak pernah melantik kepimpinan umum di kalangan wanita. Malah Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak pernah melantik ahli keanggotaan syura dari kalangan wanita” panjang lebar aku menjelaskan, ya! Inilah hasilnya atas didikan agama yang ditekankan oleh almarhum ayahanda. Setiap hari aku diwajibkan mengikuti kuliah-kuliah agama yang dijalankan khas untuk kerabat-kerabat diraja dan aku tidak terkecuali.

“Ibunda tidak menafikan kata-kata puteri, tapi dalam keadaan sekarang ini semua kaum kerabat diraja sudah bersetuju menabalkan puteri sebagai pengganti almarhum ayahanda. Kerabat yang bersungguh-sungguh mahu melantik puteri, mungkin kerabat mahu pemerintahan negara terus bersandar pada waris diraja dan ibunda tidak mampu berbuat apa-apa” balas ibunda, mengguna kerabat diraja sebagai alasan. Aku tahu, pengaruh ibunda yang kuat di dalam istana menjadikan kerabat tidak berani membantah.

“Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Ibunda yang ajarkan ini kepada puteri satu ketika dulukan?. Mustahil ibunda lupa? Lagipun adat tradisi cuma ciptaan manusia, apa yang penting ialah hukum yang ditetapkan olehNya ibunda” aku cuba mengingatkan kembali kata-kata yang telah membuatkan aku sentiasa berhati-hati ketika melakukan apa pun perkara.

“Cukup puteri, ibunda berjumpa dengan puteri bukan kerana hendak membincangkan tentang perkara ini. Keputusan sudah dibuat, puteri akan tetap memegang tampuk pemerintahan negara kita. Ibunda ke sini cuma ingin bertanya, kenapa puteri sakarang ini kerap bertemu dengan Dato’ Andika? Ibunda mahukan penjelasan puteri” aku tersentak mendengar kata-kata ibunda. Bagaimana ibunda boleh mengetahui tentang perkara itu sedangkan setiap kali aku dan Dato’ Andika berjumpa, ianya adalah secara sulit. Hati mula gelisah, risau kalau-kalau ibunda sudah mengetahui semua rancanganku untuk keluar dari istana.

“Ibunda yang beriya-iya mahu puteri jadi pemerintah negara, jadi adakah menjadi satu kesalahan jikalau puteri mempelajari selok belok pemerintahan daripada Dato’ Andika?” aku cuba menutup rahsia yang tidak ingin aku buka. Mujur sememangnya Dato’ Andika menjalankan tugas-tugas mentadbir negara sebagai pembantu paling kanan almarhum ayahanda. Jika tidak, pasti sukar untuk membina kepercayaan ibunda.

“Kalau begitu gerangannya, lega hati ibunda. Puteri pasti dapat lakukan yang terbaik. Ibunda berundur dulu, ketemu esok, tidak sabar melihat puteri kesayangan ibunda di atas takhta” Ibunda kemudian bangun meninggalkan aku kembali sendirian di dalam kamar yang luasnya hampir separuh daripada keluasan taman larangan. Jam emas yang terletak cantik ditangan aku renung sekilas. Masa akan berlalu pergi, begitu juga dengan aku. Aku akan pergi berlalu meninggalkan istana, dapatkah aku hidup seperti rakyat jelata yang lain diluar sana? Aku resah, namun untuk abang Indera dan ibunda, aku rela.

“SEMUA keperluan puteri telah dato’ sediakan, cuma dato’ ingin tahu betulkan puteri tidak ingin membawa dayang-dayang bersama menemani puteri?” serius sahaja wajah Dato’ Andika, tiada langsung senyuman yang terpalit pada bibirnya.

“Tak perlulah dato’, selama ini beta telah dijaga oleh dayang-dayang. Biarlah kali ini beta belajar berdikari, hidup seperti orang lain” Ikhlas dari hatiku, memang pun selama ini aku sering dikawal rapi oleh dayang-dayang yang diperintahkan untuk menjagaku sehingga aku tidak belajar untuk menguruskan keperluanku sendiri. Apa saja yang aku perlukan, semuanya pasti disediakan tanpa perlu aku bersusah payah. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku belajar tentang erti kehidupan.

“Bagaimana dengan penginapan beta?” soalan penting yang aku harus tahu.

“Buat sementara waktu, dato’ hanya boleh menyediakan sebuah kamar kecil untuk puteri di sebuah rumah rakyat biasa. Mungkin kamarnya tidak sebesar kamar puteri di istana.” Perlahan Dato’ Andika berbicara, mungkin tidak sampai hati menyatakannya. Aku tersenyum melihat Dato’ Andika, tidak terduga ada kasih dan sayang di hatinya untukku.

“Tak mengapalah dato’, lagipun beta yang mohon begitu. Bukan apa, jikalau beta menetap di hotel-hotel ternama, pasti senang bagi ibunda untuk mencari beta. Mungkin ada juga hikmahnya” aku cuba menenangkan perasaan Dato’ Andika, moga terubat resah dihatinya mendengarkan kata-kataku itu.

“Dato’ cuma mampu berdoa moga puteri selamat dan dilindungi. Mahu dato’ maklumkan pada orang di sana supaya menjemput puteri di lapangan terbang?” banyak sungguh soalan yang dikemukakan. Entah apa yang dibimbangkan sangat tentang diriku ini.

“Tak perlu dato’, beta akan cari sendiri rumahnya, betakan puteri, pasti beta dapat menyelesaikan segala masalah di hadapan mata beta” Kataku cuba berjenaka.

” Alamatnya dato’ sudah catatkan dalam buku nota betakan?” Aku menyeluk ke dalam tas tangan mencari buku nota berwarna hijau milikku.

“Sudah puteri, dato’ sudah catatkan”

“Dato’ pasti tiada yang tahu tentang hal ini melainkan beta dan dato’? biarpun telah aku ingatkan berkali-kali perkara itu, namun aku masih bertanyakan hal yang sama. Sebenarnya aku juga risau, kalau-kalau hal ini diketahui aku akan dikenakan tindakan kerana telah mencemar duli.

“Dato’ amat pasti puteri! Tiada seorang pun yang mengetahui melainkan dato’ dan puteri. Usahlah puteri bimbangkan hal itu, semuanya sudah dato’ selesaikan. Puteri berangkatlah dengan aman” baru kali ini Dato’ Andika mengangkat mukanya memandangku.

“Kalau begitu, beta berangkat dahulu. Beta mohon dato’ tolong tengok-tengokkan ibunda dan Putera Indera. Insya’allah, beta akan selalu hubungi dato’ untuk bertanyakan khabar” hiba hatiku saat ini. Terbayang wajah ibunda, dan abang Indera. Pasti istana akan merindui puterinya, aku yakin.

TIGA

Semua urusan keluar masuk di lapangan terbang begitu mudah bagiku. Ternyata Dato’ Andika menjalankan tugasnya dengan baik sekali. Enam jam duduk di dalam pesawat sudah cukup meletihkan, itu belum lagi dikira masa yang diambil duduk di dalam teksi. Hampir satu jam perjalanan, barulah aku diberhentikan di simpang masuk sebuah kawasan perumahan.

“Maaf bertanya, tapi kenapa arjuna berhenti di sini? Tidak bolehkan kiranya arjuna masuk ke dalam?” soalku sebaik sahaja teksi berhenti.

‘Cik ni sihat ke tidak? Apa fasal panggil saya arjuna? Ingat ni filem Melayu klasik ke?” pemandu teksi itu tersenyum kelat. Aku tidak faham apa yang dimaksudkannya, mengapa dia berkata begitu?

“Apa yang cuba arjuna maksudkan?” kataku lagi mahukan kepastian.

“Tak ada maksudnya, cik saya berhentikan kat sini. Saya tak dibenarkan masuk ke dalam. Tambangnya 65 ringgit 70 sen.” Terlihat pemandu itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku mengeluarkan wang tunai seratus daripada tas tangan. Mujur Dato’ Andika turut menyediakan matawang Ringgit Malaysia, jadi mudahlah urusanku.

“Ini bakinya. Lagi satu, nama saya bukan arjuna, nama saya yang Malik” baki wang dikembalikan kepadaku.

“Kasih ya arjuna Malik” aku mengukir senyuman, kini baru aku faham, mungkin pemandu itu menyangkakan aku memanggilnya arjuna kerana aku sangkakan itu namanya. Dalam diam bibirku mula menguntum senyuman terus. Terlupa yang kini aku berada di negara orang. Pasti panggilan tanda hormat juga adalah berbeza. Di negara kelahiranku, panggilan sapaan bagi seorang yang bergelar lelaki ialah arjuna. Masih banyak yang perlu aku pelajari.

Turun sahaja daripada teksi aku menyeluk ke dalam beg galasku mencari buku nota hijauku. Semua maklumat berkenaan dengan negara Malaysia yang sempat aku pelajari daripada Dato’ Andika aku catatkan pada buku notaku. Sehelai demi sehelai nota itu aku selak sambil melangkah menyusur masuk ke kawasan perumahan yang dimaksudkan oleh Dato’ Andika. Mataku tertumpu mencari panggilan yang biasa digunakan di Malaysia untuk lelaki dan wanita.

“Ya dik, boleh abang bantu?” langkah ku terhenti bila tiba berhampiran dengan pondok pengawal. Sama seperti di istana, cuma pondok di sini agak kecik dan bilangan pengawalnya hanya dua orang, tidak seramai pegawal di istana. Aku masih membelek buku notaku mencari panggilan yang sesuai, namun aku gagal ketemu. Rasanya ada aku catatkan tempoh hari, tapi entah kemana ia menghilang.

“Boleh tahu alamat ini di mana?” akhirnya aku bersuara bila terlalu lama membiarkan pengawal itu menunggu aku yang tidak sudah-sudah mencari perkataan yang tidak juga aku jumpa.

“Oh, senang aje ni dik, jalan terus, nampak simpang yang pertama adik belok kiri, jalan terus lagi lepas tu ada simpang adik masuk kiri juga. Adik carilah, rumah ni kat kawasan situ juga. Kalau tak jumpa adik datang sini balik jumpa abang ya!” bersungguh-sungguh pengawal itu menerangkan. Aku pasti penerangan itu akan dapat membantuku menjejaki rumah yang aku cari. Bila aku pulang ke istana nanti aku berjanji akan memberikan ganjaran atas budi yang dihulurkannya, kata hatiku ikhlas.

“Boleh abang tahu, adik ni siapa? Kenapa ya nak cari rumah ni?” tanya pengawal, menjalankan tugasnya sambil membetulkan topi dikepalanya. Abang! Tiba-tiba aku terfikir, mungkin itulah panggilan yang aku cari-cari. Kini hatiku boleh menguntum senyuman, apa yang aku cari sudah aku jumpa.

“Nak ke rumah ayahanda saudara, datang melawat” aku menerangkan

“Maksud adik, rumah pak cik? Kalau macam tu silalah!”

“Kasih Ya abang!” aku bergerak melepasi pondok kawalan dan berjalan mengikut penerangan yang masih berlegar-legar di dalam ingatanku. Kini urusanku pasti lebih mudah, aku mengeluarkan pen kemudian mencatat sesuatu di dalam notaku.

‘Abang = panggilan hormat bagi kaum lelaki’

Aku tersenyum lagi, agak berbeza panggilan yang digunakan walaupun kami masih negara serumpun. Kalau di tempatku, gelaran abang hanyalah digunakan untuk adik beradik lelaki tanpa mengira usia. Tetapi di sini, panggilannya berbeza sama sekali.

Aku berjalan memasuki simpang pertama, panas terik matahari petang memancar terus pada kulit wajahku, perit terasa. Peluh yang mula mengalir setitik demi setitik aku kesat dengan sapu tangan pemberian abang Indera satu masa dahulu. Masuk sahaja simpang kedua mataku mula menumpu pada rumah-rumah disekitarnya, satu persatu rumah itu aku perhatikan teliti, sehingga tiada satupun yang lepas daripada pandangan mataku, namun rumah yang aku cari masih tidak aku temui. Penat mencari ditambah pula dengan pancaran matahari yang masih terik walaupun sudah membawa ke larut petang menjadikan aku berkeputusan untuk bertanyakan pada seseorang.

Aku berjalan pantas menuju ke sebuah rumah yang tidak jauh daripadaku bila melihat ada seorang lelaki sedang membasuh kereta dihalaman rumahnya. Lega rasanya bila melihat lelaki itu, pasti dia mengetahui dimana letaknya rumah yang sedang aku cari.

“Assalamualaikum abang, tumpang tanya boleh?” aku terus bersuara sebaik saja sampai di pintu pagar. Namun salamku tidak bersambut, lelaki itu begitu tekun mencuci keretanya.

“Abang, oh abang, boleh tumpang tanya?” tidak aku berputus asa. Sekali lagi aku melaung memanggilnya. Aku mula mengeluh bila panggilan itu juga tidak bersahut. Mungkinkah lelaki itu mempunyai masalah pendengaran atau sebenarnya aku yang tersalah memanggilnya? Tidak mungkin, aku yakin, abang adalah panggilan untuk lelaki di sini. Tapi jika begitu mengapa salamku tidak berbalas dan panggilanku tidak ada jawapan. Peluh mengalir semakin deras, aku memandang sekeliling, tiada sesiapa melainkan lelaki yang tidak bisa mendengar kata-kataku itu.

“Abang arjuna….!” Aku jerit kuat sambil mengoncang-goncangkan pintu pagar mengharap perhatian daripadanya. Tidak peduli lagi soal panggilan, apa saja yang aku tahu aku keluarkan. Lelaki itu akhirnya bangun daripada mencuci tayar keretanya dan berjalan ke arahku. Earphone ditanggalkan daripada telinganya. Cis, patutlah tak dengar! Hatiku menjerit marah.

“Awak panggil saya apa tadi?” belum sempat aku mengajukan soalan, aku pula yang dilemparkan dengan soalan.

“Abang arjuna, sebenarnya cuma nak tahu…” tidak sempat aku menghabiskan kata, bicaraku telah dipotongnya.

“Macam mana awak tahu nama saya? Oh, awak datang fasal kerja tu kan? Masuklah” aku terlonggo, bila masa aku tahu namanya? Kerja? Bila pula ketikanya aku memohon untuk bekerja dengannya? Aku semakin pelik, lama aku berfikir. Aku menepuk dahi perlahan, terlupa, mungkin ini juga salah satu daripada rancangan Dato’ Andika yang cukup jelas dengan permintaanku agar identitiku yang sebenar disorokkan. Aku menghela nafas lega, akhirnya berjaya juga aku berjumpa dengan rumah yang aku cari. Aku berjalan masuk ke dalam rumah seiring dengan lelaki itu bila pintu pagar dibuka.

“Actually nama saya Ra’if Arjuna. Nama awak siapa?” lelaki itu mencuci kakinya pada kepala paip yang mengalir sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Rumah yang luasnya sekadar besar kamarku itu aku tatap rapi.

“Nama beta Puuuuu……” aku terdiam seketika, terlupa bahawa identitiku harus dirahsiakan.

“Pu….?” Ra’if bersuara, menunggu aku menyambung kata. Mula ada resah dihati, bagaimana boleh terlepas kata. Saat itu otakku ligat memikir, apa panggilan yang sesuai untuk aku gunakan bagi menggantikan panggilan ‘beta’ yang sudah sebati dengan lidahku ini.

“Bukan pu…Piya! Idea meluncur laju, mana mungkin aku memaklumkan namaku Puteri Mahkota Nur Shaafiah, pasti aku akan dibawa pulang ke istana hari ini juga.

“Okay, Piya! Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” aku tersentak mendengarnya. Pengasuh budak perempuan! Biar benar Dato’ Andika ni, tidak aku sangka! Mana mungkin aku boleh menjadi pengasuh sedang aku sendiri pun dijaga oleh dayang-dayang istana! Budak pula tu, hilang akal apa Dato’ Andika, tidak aku duga sampai begini sekali rancangan yang diaturkan untukku.

“Sudah biasa sangat, setakat menjaga budak perempuan, pasti tiada apa-apa masalah” aku berlagak seperti tiada apa-apa penipuan dalam kata-kataku. Namun ada kerut pada dahi Ra’if.

“Ada apa ya Ra’if Arjuna, kenapa dahinya berkerut?” pertanyaanku hanya dibalas dengan gelak kecil daripada Ra’if.

“Awak panggil saya apa?” soalan itu sekali lagi diajukan kepadaku.

“Ra’if Arjuna, kenapa ya, ada sebarang kesilapan?” aku masih tidak faham mengapa Ra’if terus menerus ketawa.

“Awak tahu yang saya ni majikan awak, boleh pula awak panggil saya dengan nama penuh” Ra’if masih tersenyum, pening kepalaku melihatnya.

“Jadi, apa yang perlu saya gelarkan?” serius aku bertanya mahukan kepastian.

“Entah kenapa saya rasa awak ni peliklah Piya!” Ra’if ketawa lagi, entah apa yang lucu aku pun tidak tahu. Kalau saja dia tahu yang dia sedang mentertawakan seorang puteri daripada kerajaan Muluk, pasti saat itu dia tidak mampu ketawa lagi buat selama-lamanya.

“Asal mana?” Soal Ra’if

“Tidak jauh dari sini juga” aku memberikan jawapan umum. Rasanya tiada jawapan lain yang sesuai.

“Tak jauh? Kat mana tu?” Ra’if terus-terusan bertanya, seolahnya ada yang tidak berpuas hati. Aku tak tahu lagi apa yang boleh aku jawab, aku menarik nafas panjang sebelum terdengar suara nyaring seorang kanak-kanan perempuan.

“Ayah!!!” Jeritan seorang kanak-kanak perempuan yang bergegas turun dari anak tangga menyebabkan kepalaku menoleh ke arahnya.

“Meh sini anak ayah!” Ra’if bangun daripada duduknya, lalu mendapatkan budak perempuan yang masih memeluk patung beruang didakapannya. Mujur, tepat masanya kemunculan budak itu.

“Piya, ini anak saya, Puteri Darwisyah, 5 tahun.” Aku diperkenalkan dengan anaknya.

“Puteri?” aku terkejut

“Bukan puteri dekat istana tu. Darwisyah nilah satu-satunya anak yang saya ada, jadi saya namakan dia Puteri Darwisyah” aku mengangguk faham, ada rasa lega, takut juga kalau aku kini berada di rumah kaum kerabat istana.

“Puteri ada kakak baru tahu, ni kak Piya” Darwisyah tersenyum memandangku, keningnya diangkat-angkat seolah-olah ada amaran yang ingin diberikan.

“Nenek mana?” Ra’if bersuara pada anaknya

“Nenek kat atas sembahyang. Nenek suruh ayah naik sembahyang!” Petah Darwisyah berkata-kata. Aku hanya melihat anak-beranak itu berbual.

“Darwisyah naik bilik dulu, ayah nak tunjukkan bilik kak Piya” Darwisyah diturunkan daripada dukungan, Darwisyah kemudiannya berlari terkedek-kedek menaiki anak tangga.

“Jom!” Ra’if mempelawa. Aku mengikut saja langkah kakinya.

“Tugas Piya kat sini senang aje. Jaga anak saya, kemas rumah dan bantu ibu saya memasak. Setiap bulan saya akan bayar awak 600 ringgit, boleh?” langkahku terhenti mendengarnya, senang dia cakap! Aku jadi resah dengan kata-katanya, semua perkara itu langsung tidak pernah aku lakukan sepanjang aku hidup.

“Ini bilik Piya, rehatlah dulu, nanti lepas maghrib saya tunjukkan apa-apa yang perlu” Ra’if mengarahkan. Aku menolak perlahan daun pintu bilik yang dudukannya bersebelahan dengan dapur. Biliknya kecil, sangat kecil! Hanya sebuah katil dan almari yang ada mampu dimuatkan di dalam bilik itu. Bahang rimas mula terasa, bagaimana aku mahu hidup di dalam bilik sekecil itu? Kamar mandiku di istana tiga kali ganda lebih besar daripada bilik itu.

“Sebelum tu, Piya kenal dengan semua peralatan elektrikkan? Mendengarkan itu, jangtungku berdegup laju sekali lagi. Aduh, seksanya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan