Pelayan Hotel

Selasa, 10 Ogos 2010

cINTA IST@NA

-SATU-

Gila! Akukan perempuan, mana mungkin aku mampu mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Sedang dalam agama pun menyarankan pemimpin hendaklah terdiri daripada golongan lelaki, jadi masakan aku layak memegang gelaran ketua negara. Aku berlegar-legar di taman istana, memikirkan sesuatu yang baru sahaja aku dengar daripada Ani, dayang yang paling rapat denganku. Tak mungkin! Aku tidak mahu duduk di atas takhta, aku tahu kemampuanku sendiri. Usia aku baru mencecah 20 tahun, tahap setahun jagung. Tiada langsung pengalaman mentadbir negara, mana mungkin aku mampu menguruskan hal negara tanpa apa-apa ilmu.

Ibunda pun satu, entah apa yang telah menghantui fikirannya sehinggakan dia berkeras untuk menjadikan aku pemerintah negara, padahal Putera Mahkota Indera Kareef, seribu kali lebih layak daripadaku. Walaupun itu hanya abang tiriku, namun padaku kredibilitinya dan pengalamannya yang selama ini banyak membantu almarhum ayahanda Sultan Izzudin Izlan Shah semasa hayatnya sudah cukup untuk membuktikan betapa abang Indera lebih layak menerajui pucuk pimpinan negara.

“Ini tak boleh jadi ni Ani. Beta tak mahu ambil alih tugas almarhum ayahanda, lagipun betakan perempuan! Belum pernah terjadi pemerintah negara kita seorang perempuan. Kenapa ibunda beriya-iya nakkan beta jadi pemerintah negara?” aku mula duduk di Pondok Cahaya Bulan bila keletihan mundar-mandir dari tadi.

“Tak tahulah puteri, mungkin permaisuri ada alasan sendiri” aku memandang Ani tajam bila kata-kata itu dilemparkan. Alasan apa yang Ani maksudkan? Tiada alasan yang munasabah, pasti kerana dendamnya. Aku tahu, selepas ibunda disahkan tidak dapat mengandung lagi selepas kelahiranku, almarhum ayahanda telah berkahwin lagi. Perkahwinan itupun kerana almarhum ayahanda mahu mempunyai zuriat daripada kaum Adam dan ketika kisah itu aku ketahui beberapa tahun yang lalu baru aku tahu mengapa selama ini ibunda bersikap dingin terhadap abang Indera. Namun begitu abang Indera tidak pernah menaruh dendam pada ibunda, malah dia sentiasa menunjukkan rasa kasihnya pada ibunda. Tapi entah kenapa ibunda tidak dapat merasa semua itu sedangkan ibundalah yang membesarkan abang Indera selepas ibu abang Indera meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan abang Indera.

“Mungkin beta patut buat sesuatu untuk abang Indera” kini aku tersenyum

“Puteri nak buat apa? Puteri jangan buat apa-apa yang tidak baik” terlihat riak kerisauan pada wajah Ani.

“Sesuatu yang baik untuk semua!” aku kemudian bangun, berangkat menuju ke kamar.

DATO’ Andika segera masuk menghadap bila aku memanggilnya. Ada sesuatu yang ingin aku bincangkan dengannya dan aku tahu aku perlukan pertolongan daripadanya. Aku meminta semua dayang yang menemaniku meninggalkan Astaka Istana.

“Apa yang boleh dato’ bantu puteri?” suara Dato’ Andika berkumandang dalam Astaka Istana yang banyak menempatkan warisan-warisan pusaka hak milik negara sebaik sahaja dia sampai.

“Beta perlukan bantuan dato’ dan beta mahu hal ini nanti menjadi rahsia antara beta dan dato’ sahaja” aku memandang Dato’ Andika tepat, ada kerut pada dahinya yang kian bergaris jelas.

“Katakanlah puteri, asal sahaja Dato’ boleh membantu, pasti Dato’akan usahakan sehabis daya Dato” Dato’ Andika petah berbicara, bukan itu sahaja dia juga cekap menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan dibahunya dan amanah di tidak pernah disia-siakan. Tidak salah almarhum ayahanda menjadikan dirinya orang kepercayaan.

“Baiklah, beta pegang kata-kata dato’ sebagaimana almarhum ayahanda percayakan dato’ aku kemudianya mengarahkan Dato’ Andika untuk duduk.

“Begini dato’ rasanya dato’ pun sudah maklum dengan rancangan ibunda beta. Sejujurnya, beta langsung tidak bersutuju dengan cadangan itu. Bukan tujuan beta hendak menentang apatah lagi menderhaka kepada ibunda. Tapi pada pandangan beta, Putera Mahkota Indera Kareef lebih berpengalaman dan layak untuk bersua muka, berurusan dengan rakyat jelata” aku cuba menjelaskan seterang-terangnya.

“Dato’ sependapat dengan puteri. Namun tiada niat dato’ untuk mengatakan puteri tidak layak. Cuma pada hemat patik, puteri memerlukan pengalaman untuk semua itu” kata-kata Dato’ Andika membuatkan aku tersenyum. Aku tahu Dato’ Andika juga memikirkan yang terbaik untuk negara.

“Kalau sudah begitu, mahukah dato’ bantu beta keluar dari istana?” Dato’ Andika terkejut mendengar apa yang aku katakan.

“Puteri Mahkota, apa yang puteri katakan ini? Puteri hendak ke mana?” Dato’ Andika bangun daripada duduknya. Mungkin tidak senang mendengar apa yang baru sahaja singgah pada gegendang telinganya.

“Ke mana-mana sahaja dato’, lagi jauh lagi bagus. Asalkan beta terlepas daripada semua rancangan karut ibunda dan Putera Indera dapat mewarisi pemerintahan almarhum ayahanda” aku tersenyum lagi

“Bagaimana puteri boleh yakin dato’ akan bantu puteri, sedangkan dato’ telah diamanah oleh almarhum untuk menjaga puteri” Dato’ Andika kelihatan mula berat dengan permintaanku itu.

“Pasti almarhum ayahanda juga ada amanahkan dato’ untuk menjaga negara bukan? Bagaimana pula dengan amanah itu? Dato’ sendiri cakap tadi Putera Mahkota Indera lebih layak memerintah, takkan dato’ nak biarkan beta mentadbir negara? Itu bermakna dato’ juga bersetuju dengan saranan ibunda” aku melepaskan semuanya, aku mahu Dato’ Andika memahami situasiku.

“Beta sarankan puteri ke Malaysia, di sana keadaan negaranya aman, malah budaya dan bahasanya juga sama seperti di negara kita. Itupun kalau puteri setuju” Akhirnya Dato’ Andika menyebelahiku, barulah aku mula rasa lega.

“Malaysia?” kembali aku tersenyum

” Beta pernah ke sana masa 10 tahun lalu bersama almarhum ayahanda. Pasti sudah banyak perubahan di sana. Baiklah, Dato’ tolong aturkan dan kalau boleh beta mahu berangkat pada hari pertabalan beta tanpa pengetahuan sesiapa. Mungkin dengan cara ini ibunda tiada pilihan lain dan terpaksa membiarkan Putera Indera menguruskan negara” tambahku lagi. Dato’Andika menganggukkan kepalanya, aku yakin dia faham dan akan membantu niat murniku. Kini aku benar-benar lega. Malaysia, tunggulah kedatanganku!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan